Hanya Dirimu

Tuesday, January 29, 2008
"Perasaannya berkecamuk. Bagaikan kering air mata menangisi berita yang disampaikan oleh Doktor Ikhwan. Alangkah remuknya hati seorang isteri yang ingin menghadiahkan qurratu ain yang cukup bermakna buat suami yang tercinta. Dia menangis teresak-esak.Mana mungkin untuk menolak takdir yang ditetapkan oleh Allah Taala sejak azali lagi Basah lenjun bantal di bilik tidurnya menjadi mangsa. Namun, apa lagi yang mampu dilakukan Aliya selain menangis. Ya, takdir adalah satu hakikat yang perlu diterima, namun jiwanya diakui terlalu lemah untuk menerima ujian ini.

“Ya Allah, tabahkan hati ini…….”Aliya merayu dalam tangis. Hanya kepada Allah mampu dipanjatkan doa agar dirinya ditabahkan dalam menghadapi ujian ini.Aliya sama sekali tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan suaminya nanti apabila mendengar berita itu.
“Aliya, Kenapa ni? Abang rasa dari tadi isteri abang menangis”?Zahid yang baru sahaja pulang dari kerja cuba bersuara dengan lembut memujuk isterinya yang sudah dilanda banjir.
“Abang…..tadi Doktor Ikhwan telefon. Dia nak cakap dengan abang..Tapi Aliya bagitau abang tak ada, dia sampaikan satu berita!”
“Berita? Berita apa ye?”
“Abang..,Aliya di dalam sedu cuba mencari kekuatan diri untuk mengungkap khabar.
“Doktor Ikhwan mengesahkan, hasil pemeriksaan kita baru-baru ini, kita tidak akan mendapat anak. Aliya tak mampu mengandung bang!!”Aliya menggagahkan dirinya bersuara sekalipun diiringi tangisan yang semakin kuat.
“Innalillahi wainna ilahiraji’un”Zahid mengeluh panjang. Menutup muka dengan kedua-dua tapak tangannya. Aliya pasti suaminya turut menangis.
Rumahtangganya cukup bahagia . Malah tiada siapa pun yang dapat menafikan kebahagiaan rumahtangga mereka. Seorang jejaka yang sudah lama menaruh hati kepada gadis idamannya yang rupa-rupanya adalam diam Aliya turut menyimpan kasih yang terpendam. Aliya, satu nama yang cukup gah di kampus pengajian mereka satu masa dulu. Menjadi idaman bukan seorang di kalangan pemuda-pemuda yang terlibat dengan gerakan di kampus. Tiada siapamenduga di dalam diam, hubungannya terbina dengan cukup indah dan terjaga dengan seorang seniornya, Zahid. Walaupun berbeza negeri kelahiran dan jarak umur yang agak jauh memisahkan mereka, namun takdir Allah S.W.T mempertautkan antara dua hati, Zahid dan Nur Aliya.
Masih terbayang jelas di ruang fikiran Aliya, episod demi episod di dalam hubungan kasihnya dengan Zahid,insan yang kini menjadi bergelar suami buat dirinya,
Tanpa sebarang dating dan hubungan terlarang antara dirinya dengan Zahid, mereka dijodohkan setelah mendapat persetujuan di antara kedua-dua belah keluarga. Rupa-rupanya, Zahid melakukan langkah yang lebih drastik apabila bertindak nekad menghantar rombongan peminangan ke rumahnya. Mereka dijodohkan dengan begitu ringkas. Tanpa majlis perkahwinan yang memakan belanja yang besar dan tanpa diiringi paluan kompang yang menggamatkan seluruh kampong, mereka bergelar suami isteri yang sah.
Saat-saat manis bermula di dalam kehidupan bagaikan bunga-bunga yang kembang mekar disirami dengan titisan-titisan hujan di malam hari. Keharuman melebar ke segenap ruang pelusuk taman.
Aliya akui, suaminya cukup baik. Perkongsian hidup dengan Zahid baginya adalah satu pengalaman yang cukup indah. Tidak sesekali Zahid meninggikan suara biar betapa letih menguasai dirinya. Bahkan, cukup bahagia dirinya sebagai seorang isteri dilayan dan dibelai oleh suami sebaik Zahid. Aliya akui, bagaikan tiada suami yang lebih baik dari Zahid.
Namun dugaan Allah pasti akan menimpa sesiapa sahaja di kalangan hambanya. Bumi yang mana tak akan ditimpahujan, hidup yang mana tidak dilanda ujian.
Sepanjang lima tahun perkongsian hidup dengan Zahid, merekatidak dikurniakan cahaya mata. Aliya sering melirik cemburu apabila melihat anak-anak kecil bermain di hadapan rumahnya. Apatah lagi apabila mendengar tangisan bayi, bagaikan tertarik-tarik naluri keibuan di dalam dirinya untuk turut sama mempunyai cahaya mata. Namun, Zahid sering kali bijak memainkan emosinya, “kalau dapat anak, mana mungkin lagi kita dapat berpimpin tangan seperti ini…..”
Aliya sering tersenyum apabila mendengar gurauan Zahid sekalipun hati kecilnya begitu yakin bahawa Zahid seperti dirinya, begitu merindukan kehadiran cahaya mata. Hinggalah akhirnya, dia mencadangkan agar mereka bertemu doktor…….
“Aliya sudah yakinkah keputusan ini?”. Zahid meminta kepastian dari isterinya.
“Aliya yakin bang……Aliya sudah istikharah…Aliya yakin, inilah pengorbanan Aliya untuk abang!”
“Aliya, abang tidak perlukan satu lagi sayap. Cukuplah Aliya sayap kiri abang dalam perjuangan…..”
“Abang, tapi abang perlukan zuriat . Aliya tak mampu nak berikan abang zuriat!” Lemah suara Aliya sambil menahan perasaan. Tanpa disedari manik- manik halus mulaberkumpuldi kolam matanya menanti masa untuk ditumpahkan.
“Aliya…..”Zahid menggenggam erat tangan isterinya.
“Abang bukan seperti lelaki yang lain. Cukuplah seorang isteri buat abang dalam melayari hidup ini. Abang kasihkan Aliya, dan selamanya kasih tak akan berubah. Ingatkah dulu, kita pernah berjanji, kasih kita tak akan terlerai, selama-lamanya,kan? Kecuali kita berpisah kerana kematian…kan?Aliya masih ingat?

"Ruang fikirannya memutar semula satu demi satu episode manis yang menemukan dirinya dengan Zahid. Ya, mereka pernah berjanji, hidup bersama kasih sayang dan cinta yang dibina hinggalah tiba tentuan Allah. Mereka juga pernah berjanji, akan menjaga keutuhan mahligai yang dibina agar kekal bahagia, bahagia hingga anak cucu. Sekali lagi Aliya sebak apabila mengenangkan gurauan Zahid yang mahukan anak yang ramai.

“Abang….”Aliya mencari kekuatan yang sering kali hilang sejak akhir-akhir ini.
“Abang, Aliya tahu abang kasihkan Aliya. Namun, abang jua perlukan zuriat. Kahwinilah dia bang! Aliya kenal dia. Malah bagi Aliya, itulah mampu yang terbaik yang mampu Aliya persembahkan untuk abang…..”
Kalau abang ternyata tidak mampu berlakua adil, bagaimana?Aliya bersedia menerima? Aliya , persoalan ini amat berat, terlalu berat buat abang!
“Tidak abang! Aliya yakin dan kenal siapa abang. Abang, Aliya rela berkorban, untuk kebahagian abang!”. Semakin hebat tangisan Aliya mengiringi pengakuannya. Zahid tidak mengerti, bukan mudah untuk seorang isteri melakukan pengorbanan seperti Aliya.
Langit yang mendung malam itu bagaikan mengerti bagaimana perasaan seorang isteri yang ditingagalkan keseorangan. Aliya membelek album kenangan sewaktu bermulanya kenangan indah bersama Zahid. Kadang- kala tersenyum bila mengingati dan bagaimana kemanisan cinta mereka be4rmula yang berakhirnya ke jinjang pelamin. Malam itu,cukup sejuk diiringi dengan hembusan angina yang seolah-olah mengundang turunnya hujan yang lebat dari langit. Namun, gundah di hati Aliya lebih hebat dari itu.
Malam itu, dalam satu majlis yang serba ringkas Zahid dijadualkan akan diijab kabulkan dengan Insyirah, insane yang akan menjadi madu Aliya. Petang tadi, Aliya sudah mempersiaojan Zahid untuk menjadi bakal pengantin. Suaminya turun dari rumah dengan langkah yang berat. Aliya tahu, hati Zahid masih berbelah bahagi.
Insyirah, bekas junior Aliya semasa di kampus dicadangkan Aliya sendiri untuk diperisterikan oleh suaminya. Insan yang bakal berkongsi kasih dan saying dengannya disepanjang hayat. Aliya kenal siapa Insyirah dan cukup menyenanginya. Cuma, kadang-kadang Aliya termangu sendirian, betulkah apa yang dia lakukan? Dan mampukah dia mengahadapi hidup ini kelak? Biarpun sesekali penyesalan bertandang, namun Aliya yakin, itulah pengorbanan yang paling agung yang dapat dilakukan olehnya seorang isteri. Dan sekali lagi, Aliya merasakan, manik-manik halus terasa suam menuruni pipinya. Aliya cukup pasti, waktu ini tentu suaminya sudah tidur lena dengan mimpi indah. NAmun, biarlah dia pula menikmati pula kelazatan bermunaj dengan Tuhan.
Bagaimana pun langkah Aliya terhenti seketika. Ada seseorang yang cuba membuka pagar dan memasuki halaman rumahnya.
“Abang….!Aliya terkejut kepulangan suaminya di waktu yang tidak sepatutnya. Lantas spontan dia tunduk mencium tangan suaminya, namun kali ini tidak seperti biasa, Zahid tidak ingin melepaskan tangannya.
“Aliya…….!”
“Abang berbincang panjang dengan Insyirah dan ayahnya. Abang tak akan berkahwin lain!Aliya, dalam hidup abang, Aliya hanya seorang…..!Serentak dengan itu, Aliya teresak-esak di dada suaminya…

Labels:

 
posted by Imanulnaim Enterprise at 5:19 PM, | 0 comments

Muslimah

"FAJAR menyinsing. Kokokan ayam begitu nyaring. Azan yang bergaung dari masjid desa mendayu-dayu. Sebuah pagi yang syahdu. Ila terbangkit sendiri. Lain benar azan subuh yang mengejutkan lenanya pagi ini. Merdu dan berlagu. Tidak seperti selalu. Baru Ila sedar dimana ia berada.

Selesai solat subuh, terus saja Ila ke dapur. Ibunya yang hendak ke bilik air tekejut bila melihat Ila sedang menyiapkan sarapan. Demikian juga abah yang baru selesai solat subuh. Namun di sudut hati mereka gembira. Bertuah ada anak yang mengaji agama!

Baru tengah hari semalam Ila tiba. Tiada seorang pun ahli keluarganya yang menyangka Ila yang baru dua tahun menuntut di Jordan itu akan pulang. Tiba-tiba sahaja tersembul di ambang pintu. Gempar satu keluarga. Tidak henti-henti ibu menceceh, sebab Ila tidak memaklumkan dahulu kepulangannya. Ila Cuma tersenyum. Sengaja dia mahu buat kejutan.

“Hai...maknya. Beruntung awak. Tak payah bangun awal lagi. Ustazah dah ada.”

Abah mengusik. Ila tersenyum sambil memandang ibunya yang masih bertelekung, mengacau kopi di dalam kole. Wajah ibunya cukup berseri-seri. Girang benar dengan kepulangan anak gadisnya ini. Memang sejak semalam bibir ibunya tak lekang senyum.

“Mak bahagia Ila balik juga. Dah rindu mak ni.”

“Ila bukan tak nak balik mak. Baru sangat rasanya duduk di Jordan tu. Lagi pun sekarang ringgit jatuh. Kenalah berjimat cermat,” luah Ila tatkala ibu mendakapnya sesampainya di rumah. Kejap betul pelukan ibu, hamper sukar rasanya hendak bernafas. Rindu itu terlerai jua. Dan mereka sama-sama menangis hingga basah lencun tudung Ila yang labuh hingga ke pinggul itu. Ila lihat mata abah masa itu berkaca juga. Sebak beraduk suka agaknya.

Ila sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh pulang. Dia sebetulnya tidak merancang. Tekad asalnya untuk tidak akan pulang selagi tidak meraih gelaran siswazah Syariah Timur Tengah, tiba-tiba sahaja mencair apabila dia beroleh jayyid jiddan dalam peperiksaan semester lepas. Dia gembira bukan kepalang. Tidak tahu dengan siapa mahu dikongsinya kegembiraan itu selain kawan-kawan serumahnya. Memang hajat asalnya tidak mahu pulang. Apa kala melihat kawan-kawannya hendak pulang bercuti, entah bagaimana dia pun turut sama menempah tiket kapal terbang.

Sudah seminggu Ila pulang, tetapi masih tidak kemana-mana. Paling jauh pun ke rumah saudara-mara. Dia hanya terperap di rumah. Kenduri kesyukuran pun telah dibuat. Setiap hari ada saja orang kampung yang datang ke rumah. Maklum sajalah, Ilalah anak pertama kampung ini yang belajar di Timur Tengah. Ibu pula langsung tidak berenggang. Di mana ada Ila, disitu jugalah ibu akan menemani. Ada saja perkara yang mereka sembangkan. Tidak henti-henti wanita separuh abad itu bertanyakan kehidupannya di Jordan, pengalamannya sewaktu menunaikan umrah, juga kenangannya semasa melancong ke Mesir.

Dalam perancangannya, kalau boleh, cuti ini ingin dihabiskan dengan beristirehat dan menziarahi adik-beradik dan saudara-mara. Dia mahu santai sepuas mungkin, setelah puas bertungkus-lumus semester penuh di Jordan. Lebih daripada itu, dia tidak mahu. Ditambah cutinya hanya sebulan, masakan sempat untuk berbuat apa-apa.

Bagaimanapun, petang itu abah memanggil Ila ke ruang tamu. Ada perkara yang nak dibincangkan katanya. Ibu pun sudah menanti sama.

“Beginilah Ila. Tadi abah terserempak dengan Ustazah Maisarah di kedai. Dia ada tanyakan Ila.”

Ila terdiam. Bertanya tentang saya? Dadanya berdebar-debar.

“Ustazah nak minta tolong Ila gantikan dia mengajar malam esok.”

“Ila?” Terkedu dia mendengarnya.

“Ha…ah. Ustazah nak ke Johor Bahru. Tak ada siapa nak gantikan tempatnya.”

“Jangan abah. Ila tak sanggup.”

Ila menggeleng. Abah menghirup teh yang asapnya kian menipis. Ibu terus leka dengn jahitannya.

“Kenapa pula, kan Ila dah belajar itu semua?”

“Ila…Ila tak bersedia lagi. Baru seminggu balik, takkan dah nak mengajar orang.”

Abah mengangguk-angguk. Barangkali alasan Ila itu menerjah akalnya. Ila menarik nafas lega dengan tindak-tanduk abah.

Sementara menunggu mata terlelap malam itu, Ila teringat kata-kata abahnya di ruang tamu tadi. Entah mengapa dia rasa malu sendiri. Dia sedar abah menaruh harapan besar padanya. Dalam lima orang adik-beradiknya, dialah perintis dalam keluarga, yang belajar di sekolah agama. Kakak-kakak dan abangnya dihantar ke sekolah biasa. Belajar pun perkara-perkara sekular. Malah tiada seorang pun yang berjaya hingga ke peringkat universiti, melainkan Ila satu-satunya. Lantaran itu, Farhana adiknya yang bongsu dihantar ke sekolah agama, demi menuruti jejak kakaknya.

Mengajar orang-orang kampung? Suatu perkara yang tidak pernah terfikir di akalnya sebelum ini. Ila benar tidak menyangka Ustazah Maisarah bertanyakan dirinya untuk itu. Dia kenal benar keluarga ustazah itu. Fathi, anak sulungnya pernah sekelas dengannya sewaktu di SMKAS. Itulah sebabnya dia terkejut benar bila Ustazah Maisarah bertanyakan dirinya. Tidak pasti pula di mana Fathi berada sekarang. Yang dia tahu Fahmi dan Siti Khadijah, dua orang lagi anak ustazah itu masih menuntut di SMKAS.

Dalam begitu, telinganya menangkap sayup-sayup suara orang berbual. Pasti abah dan ibu belum tidur lagi. Baru dia teringat abahnya baru pulang bermesyuarat di rumah pak Imam. Perlahan-lahan Ila membuka pintu biliknya, dan melangkah segontai mungkin ke ruang tamu.

“Abang nak tolak cadangan pak Imam tadi. Tapi…lepas tu abang terfikir apa salahnya kalau anak kita yang beri pengisian.”

Langkah Ila terhenti. “Ish…nak ke si Ila tu?” Ibu bertanya separuh ragu.

“Alah…dia mengaji agama tinggi-tinggi. Bila lagi nak diguna ilmu tu.”

Tidak semena-mena dadanya berdebar kencang. Terus memasang telinga.

“Lagipun ceramah Maulidur Rasul ini cuma untuk muslimat saja. Dua minggu lagi. Apa nak dibimbangkan?”

Sekali lagi Ila terkedu. Dia sudah dapat menagkap hala tuju percakapan abahnya. Lantas, berpatah balik ke bilik, dan merebahkan diri di tilam. Kacau! Ila mengetap bibir. Dia tidak tahu bagaimana untuk mengelak lagi. Kelas agama sudah di tolak. Tetapi, menolak program yang ini, memang tidak wajar!

Bukan dia tidak mahu, cuma tidak sanggup. Dengan ilmu yang tidak seberapa, bagaimana mahu memberi pengisian kepada masyarakat. Dia teringat kehidupannya di Jordan. Banyak dihabiskan dengan studi. Masanya digunakan cuma untuk menelaah muqarrar kuliah. Jarang sekali dia mengikuti program-program seperti ini. Aktif berpersatuan pun tidak. Semuanya tidak dihiraukan. Dia cuma mahu score dalam peperiksaan!

Pernah sekali rakan serumahnya mengajak dia menghadiri program public speaking.

“Lain kalilah Icah. saya tak free petang ni.”

“Alah…program macam ni bukannya selalu. Kebetulan Kak Suhanna yang buat Ph.D tu ada sekali. Rugi kalau tak dengar dia berceramah tau.”

“saya nak studi, macam tak sempat aje. Minggu depan imtihan.” Dia cuba berdalih. Bila berbicara dengan Icah dalam soal –soal begini jarang sekali dia menang. Gadis kelahiran Batu Pahat itu memang bijak berhujah.

“Orang lain pun belajar juga. Tapi, tak adalah sampai langsung tak ada masa.”

“Kita ke sini kan untuk belajar.”

Icah yang sedang memakai tudung tersentak.

“Apa, kau ingat belajar tu dengan menghadap buku saja?”

Esoknya, Ila benar-benar terkejut, Pagi-pagi lagi Ustazah Maisarah sudah muncul di halaman rumahnya. Wajah wanita itu berseri-seri. Dada Ila mula bergetar. Ibu sedang mandi, terpaksa Ila pula yang menyambutnya.

“Ana bukan tak mahu ustazah. Tapi rasa macam tak layak aje.”

Betul jangkaannya. Ustazah Maisarah datang membawa hajat. Sama seperti kata-kata abah.

“Tak usahlah tawaduk sangat Ila. Ustazah yakin Ila boleh. Suami ustazah pun kata macam tu.”

Melihat kesungguhan di wajah Ustazah Maisarah membuatkan lidah kelu. Segala jawapan yang difikirkan munasabah malam tadi bagaikan berlalu.

“Semua orang yakin dengan Ila. Orang mengaji di Timur Tengah yang berceramah, tentu ramai yang pergi. Pak Imam pun dah setuju.”

“Ana tak berani nak kata setuju. Takut tak tertunai pula hajat ustazah,” tuturnya lembut.

“Tak mengapa. Terpulang pada Ila. Lambat lagi majlis tu. Ila fikirlah dulu.”


**************************************************

Terkesip-kesip mata Ila mengingatkan itu semua. Sudah dua hari dia terlantar tanpa jawapan. Kitab Usul ad-Dakwah karangan dari. Abdul Karim Zaidan yang kebetulan dibawa balik dibelek-belek. Cuba dibaca beberapa perenggan. Bungkam. Segala yang melintas tidak lekat di fikiran.

Sebelum ini, tidak sekali dia terfikir perkara sedemikian akan dihadapinya. Langsung tidak pernah; biarpun dia sedar kelak dia akan bergelar siswazah Timur Tengah. Memadai sekadar itu. Dan, tidak pernah terencana di benaknya untuk menjadi pendakwah, untuk memimpin ummah!

Di Jordan, memang ada didedahkan dengan situasi sebegini. Program-program seperti usrah, tamrin, ceramah, kelas tafaqquh, semuanya ada. Cuma dia yang tidak ikut. Baginya, serupa sahaja. Kalau setakat untuk membincangkan manduk-manduk usrah, dalam kitab pun ada. Bila-bila masa boleh dibaca!

Terbayang-bayang wajah Ustazah Maisarah yang mengharap. Ila terasa dirinya kerdil jika dibandingkan dengan wanita itu. Walaupun cuma guru sekolah agama, tetapi cukup aktif. Banyak perubahan yang telah dibuatnya. Pelbagai aktiviti muslimat di desa ini di bawah pimpinannya. Suaminya Ustaz Farouk pun begitu. Sumbangan mereka terhadap perkembangan rohani dan mentaliti penduduk kampung memang tidak dapat dinafikan.

Sedang saya ini siapa? Apa amal Islami yang telah kusumbangkan? Apa peranan yang telah kumainkan demi menjadikan Islam cara hidup masyarakat? Apa persediaan yang telah kubuat demi mencanai hasrat umat? Apa…argh!

Pertanyaan yang bertalu-talu itu berlegar-legar dalam diri. Dan fikirannya melayang mengingati kehidupannya di Jordan. Sendat dengan suasana ilmu. Malangnya selama ini, program-program yang ada tidak dimanfaatkan. Dia terlalu mengutamakan studi tanpa mencari ilmu-ilmu luar sebagai bekalan untuk menghadapi masyarakat; sebagai persediaan untuk memberi pengisian, sebagaimana yang dihadapinya sekarang.

Buat pertama kali Ila berasa begitu tersayat.
“Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama, dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, agar mereka itu dapat menjaga dirinya.”

Firman Allah dalam Surah at-Taubah yang seringkali diulang-ulang oleh pensyarah Arabnya pada awal kuliah terngiang-ngiang, dan kali ini benar-benar menusuk. Dalam hatinya dia membuat satu jawapan buat Ustazah Maisarah. Moga ini adalah langkah yang pertama!

*************************************************

Petang itu, Ila kembali ke rumah setelah dua hari bermalam di rumah nenek. Sewaktu tiba di rumah, sebuah Proton Satria baru sahaja meluncur keluar dari kawasan rumahnya. Ila macam kereta siapa.

“Dah lama ustazah datang mak?”

Ibu mengangguk. Abah yang sedang membaca akhbar tersenyum meleret. Ila tidak faham makna senyuman itu. Dia terus melangkah ke kamar. Kemudian keluar semula.

“Ustazah tunggu Ila tadi.”

Ila mengutip cawan dan pinggan bekas tetamu untuk dibawa ke dapur.

“Tunggu Ila?”

Ila memandang tepat ke wajah ibunya. Ibunya juga senyum lebar.

“Dia nak tanya keputusan Ila. Kami tak berani nak kata apa.”

“Mak tak cakap yang Ila dah setuju?”

“Hai…belum apa-apa Ila dah setuju?”

“Yalah. Memang Ila dah setuju untuk jadi penceramah Maulidur Rasul nanti,” jawab Ila tenang. Namun di hatinya terbetik rasa hairan.

Abah dan ibunya saling berpandangan. Senyuman yang terukir di bibir keduanya amat sukar ditafsirkan.

“Ila…ustazah tadi datang bukan untuk tanyakan itu.”

Ila semakin tidak faham.

“Habis tu?”

“Dia datang nak risik Ila untuk anaknya.”

Kali ini Ila benar-benar terkedu!

"

Labels:

 
posted by Imanulnaim Enterprise at 5:08 PM, | 0 comments

"Abang, minta izin untuk nikah seorang lagi,"

Tuesday, January 22, 2008
Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak.

Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk? Dia menghela nafas panjang. Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum.

Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan.

Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin.

Pengabisannya dia kembali kepada suaminya. Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina,
gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.

"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau. Aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.

"Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis. Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak-anak.

Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.

"Abang, Aliyah setuju dengan permintaan abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang
jauh lebih muda.

"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan.

Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu
zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak. Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah
cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.

"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin.

"Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. abang dah lama hidup dengannya. abang faham,"

Qistina mengalih pandangannya. Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina.

Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya.

Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca AlQuran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya.Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik
dengan berzanji. Menitis air matanya.

Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.

bret bret... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik untuk abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama abang," Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.

************ ********* *********

Kepada:

Asraf Mukmin,

Suami yang tersayang...

Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani,

Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi,

Genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.

1. Dengan ukuran badan ala-ala model, ia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju-bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan abang. Aliyah tak sanggup abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan
dosa abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana, apatah lagi abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan abang...

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan abang. Aliyah tahu selera abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, abang muntahkan semua makanan
western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. kasihan nanti, tak makan lah pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan abang...

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak abang nanti untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan abang...

abang yang disayangi,

Cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. abang lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

abang yang dicintai,

Di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di sawarak.

Menunggu abang...Aliyah sayangkan abang...
Tetapi jika abang merasakan Qistina masih belum cukup
hebat untuk dijadikan isteri abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan abang.

Tetapi, jika abang merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk abang..tolonglah bukakan pintu bilik ni.Aliyah bawakan sarapan kegemaran abang, roti canai..air tangan Aliyah.
Salam sayang,

Aliyah Najihah binti Mohd Hazery

Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdiri Aliyah Najihah bersama-sama hidangan sarapan pagi kegemarannya. Dia tersenyum!

Benar, tiada isteri sehebat Aliyah isterinya!!! !!

Labels:

 
posted by Imanulnaim Enterprise at 6:24 PM, | 0 comments